Sejarah

Rumah anak-anak yatim miskin yang terletak di Kampung Che Bema, Jalan Sungai Layar Hujung, Sungai Petani telah siap dibina oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pada 12 Disember 1999 dengan kos perbelanjaan sebanyak RM851,600.00. Pentadbirannya diletakkan di bawah Pegawai Daerah Kuala Muda dan dibantu oleh ahli-ahli jawatankuasa penaja yang terdiri daripada kakitangan kerajaan / swasta dan pesara. Pelantikan Pegawai Daerah Kuala Muda selaku pengerusi telah diputuskan oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Rumah anak-anak yatim ini diluluskan pendaftarannya pada 2 Oktober 2001 oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia dengan nama "Pertubuhan Asuhan dan Didikan Anak-anak Yatim Miskin Sungai Petani".

Asrama ini memulakan operasinya dengan menempatkan 20 orang anak-anak yatim miskin perempuan dari umur 10 tahun hingga 12 tahun. Ianya diletakkan dibawah satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan Rumah Anak Yatim Miskin, Kg. Che Bema, Sungai Petani yang dipengerusikan oleh Tuan Hj. Kamil Bin Zain, selaku Penghulu Mukim Sungai Petani pada masa itu dengan dibantu oleh 10 orang ahli jawatankuasa lain.

Penyeliaan rumah tersebut telah diamanahkan kepada Hajah Hamidah Binti Abdul Wahab iaitu Guru Besar Sekolah Kebangsaan Syed Jan Al Jaffri, Sungai Layar yang menawarkan diri untuk membantu. Beliau bertanggungjawap melaporkan segala perkembangan dan aktiviti yang dijalankan dari masa ke semasa kepada Jawatankuasa. Disebabkan kematian penyelia pada tahun 2003, pengurusan terpaksa diberhentikan untuk seketika. Semua anak-anak yatim miskin perempuan yang ditempatkan di situ telah dikembalikan kepada waris masing-masing.

Aktiviti :

Semua kanak-kanak ini bersekolah di sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan Syed Jan Al-Jaffri, Sungai Layar iaitu 2 km dari Rumah Anak-anak Yatim Miskin. Van sekolah telah digunakan sebagai kemudahan pengangkutan untuk membawa kanak-kanak ini pergi dan balik ke sekolah. Selain dari menghadiri Kelas Fardhu 'Ain yang dikelolakan oleh Pejabat Agama Daearah Kuala Muda, pengajian Al-Quran juga diadakan dari masa ke semasa untuk anak-anak ini.Terdapat pelbagai pihak korporat, pertubuhan NGO, siswa-siswi dan individu mengadakan lawatan ke rumah ini untuk beramah mesra dan mengadakan jamuan disamping menghulurkan bantuan kepada anak-anak ini.

KINI.....

Pada 1 Januari 2006, Rumah Anak-anak Yatim Miskin, Kg. Che Bema beroperasi kembali. Pada hari pendaftaran, seramai 35 pelajar telah mendaftarkan diri. Saringan telah dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut kriteria yang telah ditetapkan. Pemilihan berdasarkan status anak yatim dan pelajar miskin. Jawatankuasa bersetuju memilih 20 orang pelajar yang difikirkan layak untuk menetap di asrama yang telah telah disediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan penghuninya. Semua yang dipilih adalah mereka yang tinggal di dalam Daerah Kuala Muda.

Pada kali ini, semua anak yatim yang dipilih adalah anak-anak yatim lelaki yang berumur di antara 9 tahun hingga 14 tahun. Mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tuan Syed Jan Al Jaffri bagi pelajar sekolah rendah dan Sekolah Menengah Sungai Layar, Sungai Petani bagi pelajar sekolah menengah. Anak-anak ini dijaga dan dibimbing oleh seorang penyelia, pembantu penyelia dan pengasuh. Terdapat 2 orang tukang masak yang bertanggungjawap dalam penyediaan makanan kepada anak-anak ini.

Asrama ini ditadbir oleh Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Pegawai Daerah Kuala Muda dan dibantu oleh Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Kerajaan. Manakala, Jawatankuasa Pengurusan pula dipertanggungjawapkan dalam menguruskan segala hal ehwal berkaitan Rumah Anak-anak Yatim Miskin. Jawatankuasa Pengurusan dipengerusi oleh Penghulu Mukim Sungai Petani iaitu Penghulu Husni Zain Bin Haji Husin dengan dibantu oleh 15 orang Ahli Jawatankuasa lain.

Aktiviti :

Kanak-kanak di asrama ini dibekalkan dengan pelbagai aktiviti agar dapat membentuk peribadi yang cemerlang. Pihak asrama menitikberatkan pengetahuan agama dan akademik agar anak-anak ini seimbang dari segi ilmu dunia dan akhirat. Kanak-kanak ini dikehendaki menghadiri Kelas KAFA, kelas agama dan ceramah motivasi bagi memantapkan lagi pengisian rohani mereka. Manakala bagi meningkatkan pengetahuan akademik, mereka diberi kelas tambahan bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Terdapat pelbagai pihak samada kerajaan, swasta dan orang perseorangan menghulurkan bantuan dan sumbangan disamping melakukan lawatan untuk melihat sendiri keadaan anak-anak yatim miskin ini.